REMAJA
________________________________________
MENTALITI USAHAWAN
RAMAI yang menyedari menjadi usahawan itu merupakan salah satu alternatif kepada jawapan masalah pengangguran yang berlaku. Perubahan iklim perusahaan di negara kita kini semakin ketara, paling tidak di sektor perniagaan kecil-kecilan, kita semakin merasa kehadiran mereka yang datang dari luar semakin mendominasi sektor sedemikian ini. Kegigihan mereka bagaikan menentukan bahawa sektor ini menjanjikan pulangan yang sangat menarik. Lalu timbul persoalan tentang keupayaan kita untuk menyertai mereka. Mahukah kita terutama sekali generasi muda belia kita merubah mentaliti kepada bidang yang rancak diterokai oleh orang luar ini.
Merubah mentaliti kepada sektor perusahaan ini memang suatu hal yang sangat rumit dilakukan, jika tidak mempunyai pengalaman yang luas dan modal yang cukup untuk melakukannya. Namun sampai ke mana kita akan mampu menjadi penonton kepada rancaknya perubahan dan juga keunggulan orang luar dalam memenangi sektor sedemikian. Rasanya sudah tiba masanya untuk generasi kita berperanan bersama dalam mencorakkan perusahaan kecil dan sederhana ini. Ia perlu diterokai oleh kalangan anak tempatan kita, terutama sekali dari mereka kalangan generasi belia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap atau masih lagi belum bekerja. Kekurangan pengalaman dan modal mengorak langkah, jangan dianggap sebagai suatu permulaan yang tidak mengizinkan. Namun, kita perlu menyertai mereka secara bersama-sama agar kita mampu untuk belajar dan menimba pengalaman di bidang usahawaan ini.
Kita perlu menyedari kita mempunyai 'advantage' yang sangat baik, untuk dijadikan pengukur keupayaan kita. Kita faham akan budaya kita sendiri dan juga tahu akan skala keupayaan dan kuasa beli tempatan. Hal ini menjadi 'added value' kepada kita untuk menerokai dengan lebih meluas, sekiranya kita berupaya melakukannya. Generasi belia tidak perlu memikirkan suatu permulaan yang besar, secara kecil-kecilan juga mungkin boleh membantu. Kita perlu berani sama ada mahu menerokai di bidang pemakanan, pakaian, kraf tangan, seni bina dan sebagainya. Kalau kita merujuk semula titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semasa bertitah menjelang tahun baru Masihi 2006, baginda mahukan kita sebagai satu generasi atau bangsa yang kreatif di pelbagai bidang. Hasrat dan pandangan jauh baginda ini ialah berdasarkan kepada keupayaan kita dan kemampuan untuk mewujudkan sesuatu yang lebih jauh daripada kepompongan jangkaan.
Salah satu bidang misalnya yang perlu ditumpukan ialah bidang urus niaga. Kalau skop yang lebih besar untuk kita terokai mungkin memerlukan sesuatu yang lebih besar disediakan termasuk modal, cara pengurusan, fizikal usaha yang dikendalikan, jaringan kerja dan bermacam lagi. Namun untuk bermula ke arah itu juga ia perlu kepada permulaan yang mengizinkan. Justeru kita perlu mewujudkan daya kreativiti yang tinggi untuk melahirkan suatu bidang usaha yang mampu memberikan pulangan yang lumayan dan menjamin perjalanannya.
Kalau kita melihat kepada beberapa bidang yang pada masa kini semakin tumbuh bagaikan cendawan ialah penjualan makanan 'bawa pulang' yang segera. Harga yang ditawarkan begitu berpatutan namun ia menghasilkan pulangan dan keuntungan yang bukan sedikit. Namun hal sedemikian ini pun rata-rata diungkayahkan oleh orang luar, sedangkan kita mampu untuk menjalankannya tanpa memerlukan modal yang besar dan pengurusannya yang mudah. Di sinilah daya kreatif dan kecekapan diri berperanan dalam menentukan kemampuan kita mengendalikannya. 'Mind-set' sekarang perlu berubah, jangan lagi kita sempitkan dengan asyik melihat dan mencari peluang. Apa yang penting kita sendiri membuka peluang dengan melihat perubahan dan kehendak sekeliling. Menjual nasi bungkus, kuih-muih dan lainnya jika kena cara pengendalian adunan perasa dan sebagainya pasti ia dapat dijadikan pelantar usaha.
Bijak mencipta peluang merupakan salah satu daya kreativiti untuk mewujudkan pengisian waktu lapang, ketika perkerjaan tetap masih dicari. Namun jika perusahaan kecil-kecilan mendatangkan hasil yang lumayan, perluasannya adalah wajar dilakukan. Sebagai generasi yang serba berkeupayaan peluang sedemikian meskipun ia hanya berbentuk kecil-kecilan, namun ia tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Justeru mentaliti yang diasuh dan dibentuk dengan penjurusan ke arah ini perlu disemai dengan keberanian, sabar dan gigih berusaha. Bijak dalam menentukan hala tuju jualan dan pasaran juga perlu diambil kira. Sebenarnya hal sedemikian ini merupakan laluan awal bagi mereka yang sudah berjaya dan bertapak dalam dunia perusahaan dan perniagaan yang besar.
Belajar dari merangkak kemudian bangun membina empayar perusahaan dan perniagaan yang besar merupakan kejayaan yang bukan dibina dalam sekelip mata. Ia dibina dari permulaan yang kecil kemudian berkembang secara kukuh dan berdaya saing. Semua ini berlaku kerana mentaliti yang diwujudkan sudah menjurus kepada bidang yang semakin berkembang mengikut arus perubahan. Inilah contoh dan juga model yang perlu dijadikan asas, jika kita mahu membina empayar besar dalam bidang sedemikian. Namun jangan ditinggalkan menjadi angan-angan kosong yang tidak berkesudahan. Ia perlu dijelmakan, apatah lagi di saat peluang pekerjaan semakin mengecut.
Mentaliti kita perlu berubah, ia perlu keluar dari kongkongan idea lama. Kita perlu berani menerokai kesempatan, kerana itu kita jangan jadi lemah dan lesu disebabkan tidak mempunyai peluang dan kesempatan untuk bekerja di sektor lain. Kita mesti pandai menghalakan matlamat hidup kita. Fokus kita perlu jelas terhadap kemampuan dan kemahiran yang ada untuk digembleng. Pandangan ke hadapan perlu mampu menganekacorakkan pilihan kita. Ini adalah sebahagian daripada perkara yang sangat penting dijadikan sebagai resipi kejayaan. Daya kreativiti yang tinggi dan pembentukan cara berfikir yang mantap dijadikan asas kepada menjelamakan kejayaan cemerlang, bersama mind-set dan mentaliti untuk menjadi usahawan yang gigih.
Monday, November 13, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment